Tuesday, September 4, 2012

Jangan Kahwini Wanita Negeri Sembilan?


“Jangan kahwini wanita Negeri Sembilan!” Pernah tak dengar sesiapa yang berkata begitu? Kata-kata itu mungkin agak keras untuk dilafazkan kerana terang-terangan ditujukan kepada wanita Negeri Sembilan. Realitinya ia berlaku di dalam masyarakat Melayu Islam kita. Mereka terang-terangan meluahkan kata-kata tersebut walaupun sebenarnya mereka tak mengetahui perkara yang sebenarnya.


Mungkin mereka terdengar kata-kata kawan mereka. Mungkin juga mak dan ayah mereka awal-awal lagi telah berpesan begitu kepada mereka. Jangan kahwini wanita Negeri Sembilan, bukan kerana ciri-ciri yang dimiliki oleh wanita tersebut tetapi hanya kerana mereka wanita yang berasal dari Negeri Sembilan. Akibatnya, ramai juga dikalangan lelaki yang takut untuk menikahi wanita Negeri Sembilan akibat dari salah faham ini.

Salah Faham Mengenai Adat Perpatih

Bila tak diterangkan tentang isu tersebut mereka tak faham, bila dah diterangkan pun masih tak faham. Habis tu nak terangkan macam mana je lagi ya? Cecite… cecite… Aku tak adalah arif sangat pasal adat Perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan ni, jadi kena membaca lebih sedikit mengenai adat Perpatih ni. Jadi kena membaca sikit. Ayat kopi pasta dari Wikipedia mengenai Adat Perpatih.

Selalu menjadi topik perdebatan hangat mengenai Adat Perpatih adalah mengenai pemberian harta pusaka yang memberikan kelebihan kepada perempuan. Inilah satu-satunya isu dalam Adat Perpatih yang selalu disalah fahamkan. Sebenarnya, pemberian pesaka yang dimaksudkan dalam adat ini ialah pemberian tanah adat.

Tanah adat ini adalah tanah yang turun temurun daripada nenek moyang sesuatu keluarga. Sebabnya tanah adat ini diberikan kepada perempuan ialah semata-mata untuk menjaga kehormatan dan maruah kaum wanita Adat Perpatih. Maksudnya, seorang wanita Adat Perpatih walau betapa miskin dan papa pun, dia tidak akan merempat atau menjual maruahnya untuk hidup.

Jika dia pulang ke kampungnya dia sudah ada tanah kampung dan sawah untuk dikerjakan sebagai penyambung rezeki. Manakala anak lelaki pula dianggap lebih teguh dan tahu untuk terus berusaha untuk hidup (survival). Akan harta atau tanah yang diperolehi sebagai harta sepencarian maka pembahagiannya adalah menurut hukum faraid (tidak ada kena mengena dengan tanah adat yang hanya untuk perempuan sahaja).


Salah faham terhadap perempuan Negeri Sembilan boleh dikatakan agak meluas. Pernah kawan aku berkata bahawa dia tak akan berkahwin dengan perempuan Negeri Sembilan. Lagi menarik, katanya mak dia yang pesan macam tu. Lebih kurang maksudnya, kalau berkahwin dengan perempuan Negeri Sembilan habis nanti harta kena kikis. Nanti kalau bercerai, habis tinggal sehelai sepinggang. Ada ke patut…

“Tanah adat ini adalah tanah yang turun temurun daripada nenek moyang sesuatu keluarga“. Cuba fahamkan ayat tersebut. Kalau seorang lelaki menikahi perempuan Negeri Sembilan, buat apa dia nak sentuh atau ambil harta pusaka sebelah isteri beliau? Itu bukan hak beliau pun. Amboi, kalau dah datang sehelai sepinggang tak kan nak ambil hak atau harta isteri jika berlaku perceraian kot? Itukan tanah adat keluarga sebelah isteri… harta pusaka yang dah sedia ada sebelum lelaki tersebut menikahi isterinya lagi…

Isu adat perpatih adalah berkaitan dengan tanah adat iaitu tanah pusaka yang diturunkan kepada saudara sebelah perempuan. Ianya tidak berkaitan dengan harta sepencarian.

Tak ada sebab untuk takut mengahwini perempuan Negeri Sembilan. Kalau dah memang orang tu tamakkan harta dan suka mengambil hak orang lain tak kiralah mereka tu orang Negeri Sembilan ke, Melaka ke, Tengganu ke, Kelantan ke, atau dari negeri manapun, lelaki atau wanita, tak mustahil hak orang lain pun kalau boleh nak mereka ambil. Jadi tak perlu nak prejudis kepada mana-mana warga negeri lain dan bangsa lain.

Pandangan dan kenyataan yang berunsur negatif ini secara tidak langsung telah menyebabkan timbulnya perasaan negatif dikalangan ahli masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Cukuplah dengan masalah yang ditinggalkan oleh penjajah dulu yang kian tak sudah. Tak perlu ditambah dengan masalah lain lagi. Marilah bersama-sama membina masyarakat Malaysia yang bersatu-padu.

Prejudis ialah pandangan negatif yang tersemat di dalam hati seseorang atau kelompok etnik tertentu mengenai ahli atau kelompok etnik lain yang tidak dinyatakan atau diluahkan secara terbuka. Pandangan itu pula lazimnya tidak bersandarkan maklumat tepat. Apabila prejudis disuarakan, prejudis akan menjadi stereotaip.

Stereotaip ialah kenyataan-kenyataan umum yang negatif terhadap sesuatu kumpulan etnik. Dengan kata lain, stereotaip merupakan gambaran berlebih-lebihan tentang sesuatu perlakuan baik atau buruk yang ditujukan kepada sesuatu kumpulan etnik oleh etnik yang lain.

Prejudiskah kamu? Ataupun stereotaipkah kamu? 
Atau kolotkah kamu???